sukan

Cristiano Ronaldo pecah rekod lagi

Cristiano Ronaldo menyebabkan peminat terpukau selepas mencatat rekod jaringan “luar biasa” buat Al-Nassr awal pagi tadi.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu meledak dua gol buat kelab berpangkalan di Riyadh itu ketika mereka menang 3-0 ke atas Al-Akhdoud dalam Liga Pro Saudi.

Gol pertamanya pada perlawanan itu hadir menerusi satu sentuhan menakjubkan dalam kotak penalti serta penamat tenang dari jarak dekat.

Namun gol keduanya menjadi bualan hangat peminat.Selepas penjaga gol Al-Akhdoud, Paulo Vitor meluru keluar untuk menyelamatkan kubunya, bola itu melantun di depan Ronaldo.

Legenda Real Madrid itu kemudian mendada bola sebelum melambungkan bola melepasi benteng pertahanan sekali gus menerjah jaring dari jarak 28 meter.

Peminat yang terpukau menggunakan laman X untuk memberikan reaksi dengan seorang daripadanya menulis: “Terlalu luar biasa daripada seorang GOAT (pemain terhebat sepanjang zaman).

Seorang lagi mengulas: “Gol itu tidak sepatutnya disahkan!”

Peminat ketiga berkata: “Itulah gol terbaik tahunan Puskas. Tiada persoalan lagi!”

Sementara peminat keempat menambah: “Teknik untuk menjaringkan gol itu dari jarak sejauh itu benar-benar gila, tidak ramai dalam dunia bola sepak boleh melakukannya.”

Gol cemerlang Ronaldo menyaksikan dia memecahkan rekod gol terbanyak dalam sejarah divisyen utama dunia, mengatasi legenda Republik Czech, Josef Bican dengan 527 gol.

sumber:- BH

Dia kini mengumpul 61 gol pada tahun ini sahaja. – AGENSI