sukan

Skuad Malaysia B-23 boleh tarik nafas lega

Keputusan undian Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun memberikan sedikit kelegaan kepada skuad negara apabila boleh dikatakan mereka terlepas daripada kumpulan maut.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu diundi dalam Kumpulan D bersama juara dan naib juara 2018, Uzbekistan dan Vietnam selain Kuwait turut berada dalam kumpulan itu.

Kumpulan itu boleh dikatakan lebih baik buat skuad negara berbanding saingan Kumpulan B yang menampilkan gergasi Asia, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata barisan kejurulatihan bersama pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh merangka perancangan persiapan buat Harimau Malaya B-23 berdasarkan keputusan undian itu.

“Kumpulan D nampak kuat juga namun sebenarnya kita ada pengalaman beraksi bersama Vietnam dan Uzbekistan. Ia memberi kelebihan kepada skuad B-23 negara untuk meraih keputusan positif.

“Hanya kekuatan Kuwait sahaja kita belum mengetahui secara terperinci namun barisan kejurulatihan dan pengurusan FAM akan membuat persiapan rapi termasuk merangka perlawanan persahabatan bersesuaian sebelum mengharungi Piala Asia B-23.

“Setakat ini, kemungkinan kem latihan seterusnya pada Mac tahun hadapan kerana pada Disember ini ada beberapa kekangan menyebabkan tidak dapat untuk memanggil barisan pemain,” katanya.

Gergasi Asia Tenggara, Thailand pula berada dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Arab Saudi, Iraq dan Tajikistan.

sumber:- BH

Satu lagi pasukan Asia Tenggara, Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Qatar, Australia dan Jordan.