sukan

Aaron-Wooi Yik akan bangkit di kejohanan bernilai RM9.36 juta

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu bangkit dan menghasilkan keputusan terbaik menjelang saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.

Bagaimanapun, pasangan nombor dua dunia itu sedar mereka perlu menampilkan aksi ‘kelas A’ untuk mengakhiri saingan musim ini dengan penuh gemilang di Hangzhou selepas tersingkir di pusingan kedua Masters China di Shenzen, semalam.

Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 25-27, 21-18, 17-21.

Walaupun berjaya menewaskan Ji Ting-Xiang Yu ketika Terbuka Denmark, bulan lalu tetapi Aaron mengakui lawan mereka itu beraksi lebih baik kali ini.

“Mereka (Ji Ting-Xiang Yu) bermain dengan sangat baik… kepantasan dan semuanya, mereka berjaya mengawal permainan.

“Kami tidak bermain dengan baik pada kejohanan ini. Kami akan pulang dan melakukan proses pemulihan dan buat persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan di Hangzhou,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aaron-Wooi Yik secara matematiknya sudah pun mengesahkan slot ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF apabila ketika ini berada di kedudukan ranking kelima.

Hanya lapan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga pasangan berkenaan berjaya melayakkan diri ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$2 juta (RM9.36 juta) itu.

sumber:- BH

Namun, dua penampilan mereka sebelum ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.