Umpama mati hidup semula!
Itu perumpamaan sesuai bagi menggambarkan liku perjalanan karier tonggak pertahanan kental, Junior Eldstal yang tampil mantap pada aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan, di Taipei, malam tadi.
Dalam aksi itu, Eldstal berjaya menyerap segala asakan Taiwan terutama apabila sering memenangi bola tinggi bagi mematahkan gerakan lawan.
Eldstal, 32, yang pernah mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak pada 2018 dan pulang ke England ekoran kecederaan, bagaimanapun bangkit semula untuk beraksi dengan Metropolitan Police di England, setahun kemudian.
Malah selepas aktif semula secara profesional tiga tahun lalu, dia pernah dikritik peminat kerana berat badannya yang kurang ideal untuk kembali beraksi.
Namun Eldstal tetap kuatkan semangat dan hasilnya, dia kini mampu membina benteng ampuh bersama Dion Cools di benteng pertahanan Harimau Malaya ketika ini.
“Sekarang saya 32 tahun dan mentaliti bukan macam dulu. Saya sekarang boleh baca perlawanan dan banyak pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
“Saya sering jaga badan lebih baik daripada dulu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.
Ujarnya, kepercayaan tinggi yang diletakkan pengendali negara, Kim Pan-gon di bahunya membuatkan dirinya tampil lebih berkeyakinan daripada dulu.
“Tapi yang penting ada jurulatih yang beri saya keyakinan, itu yang penting.
“Saya suka dengan jurulatih sekarang (Kim Pan-gon) yang bagi sepenuh kepercayaan kepada saya, walaupun orang lain mungkin tak bagi kepercayaan kepada saya.
“Tapi bila ada keyakinan daripada jurulatih dan apabila masuk ke padang, sudah pasti akan beri 200 peratus untuknya dan pasukan,” kata bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang kini beraksi bersama Dewa United di Liga Indonesia.