sukan

Junior tabik Maguire , akui bersara sebab ‘koyak’ mental

Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal menyimpan hasrat murni untuk membantu rakan seperjuangan dalam bola sepak mengatasi tekanan mental, dengan mengikuti pengajian dalam bidang psikologi sukan selepas bersara kelak.

Bek tengah berusia 32 tahun itu, berkata kekuatan mental sangat penting bagi memastikan pemain dapat meneruskan karier mereka sekali gus bangkit memperbaiki prestasi memandangkan pemain bola sepak sering menjadi mangsa cacian sekiranya prestasi kurang memuaskan.

Junior atau nama sebenarnya Putera Nadher Amarhan, mengakui beliau sendiri pernah berdepan cabaran mental ketika memutuskan untuk bersara sementara pada Oktober 2018, sebelum kembali beraksi bersama Metropolitan Police di England beberapa bulan kemudian.

Pemain kacukan Malaysia-Sweden itu dan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak terlepas daripada kritikan pedas apabila beliau dipanggil menyertai kem latihan pasukan itu pada Ogos lepas, antaranya kerana kurang minit permainan, faktor umur dan rekod kecederaan.

“Dulu saya bersara pun sebab ‘koyak’ mental, balik ke United Kingdom bersama keluarga. Jadi saya fikir nak ambil Ijazah Psikologi Sukan supaya dapat menolong pemain muda dan mereka yang berada di pertengahan karier kerana dalam bola sepak bukan sahaja fizikal, mental juga perlu dijaga.

“Contohnya Harry Maguire, beliau kena hentam di semua media tetapi beliau tetap bersemangat bermain untuk Manchester United dan England. Bukan mudah untuk mempunyai mentaliti sekuat itu terutama selepas baca semua kritikan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini selepas tiba dari Taiwan malam tadi.

Pemain dengan ketinggian 1.91 meter itu menerima pujian daripada peminat bola sepak tempatan kerana berjaya membentuk gandingan mantap bersama Dion Cools untuk mematahkan serangan Taiwan terutamanya hantaran tinggi, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan 1-0 pada aksi Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Mengulas mengenai prestasinya, Junior berkata beliau mahu memberi sepenuh komitmen dan beraksi dengan sebaik mungkin demi membalas kepercayaan Pan Gon.

Junior, yang beraksi bersama Dewa United di Liga 1 Indonesia, mengakui kini lebih matang dan bijak membaca permainan hasil pengalaman beraksi antaranya di Liga Malaysia dan Thailand.

“Saya mahu terus konsisten dan fokus untuk bermain dengan lebih baik. Kepercayaan Pan Gon memberikan keyakinan, saya akan bekerja keras kerana selepas ini kita ada Piala Asia (di Qatar pada Januari) dan baki empat aksi kelayakan dunia sekali gus cipta satu lagi sejarah.

“Peluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia tinggi sekiranya kita dapat sekurang-kurangnya seri dengan Oman pada Mac tahun depan. Kita perlukan sokongan padu penyokong di Bukit Jalil, supaya Oman berasa mereka bagaikan beraksi menentang 12 pemain,” katanya.

Selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada Khamis lepas dan Taiwan 1-0, Malaysia kini menduduki tempat teratas Kumpulan D dengan enam mata, diikuti Oman dan Kyrgyzstan dengan masing-masing tiga mata, manakala Taiwan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

sumber:- BH

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di Muscat pada 21 Mac dan menentang pasukan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac, diikuti aksi ke atas Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun, sebelum menamatkan kempen dengan menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun. – BERNAMA