sukan

Impian Aaron-Wooi Yik ‘musnah’

Selepas lepasi cabaran rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam pusingan 32 terbaik, rentak cemerlang duo negara itu gagal diteruskan selepas tewas kepada wakil dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Langkah kiri buat Aaron-Wooi Yik dalam perlawanan kesepuluh di gelanggang satu Gimnasium Shenzhen Bay itu selepas ketinggalan jauh dengan jurang 7 mata ketika kedudukan 1-8 pada awal perlawanan.

Tersentap dengan prestasi menakjubkan pihak lawan, Aaron-Wooi Yik mula temui rentak sehingga berjaya mengikat kedudukan 15-15.
Juara dunia tahun lalu itu kemudian mengheret aksi hingga ke tambahan mata selepas terikat 23-23, untuk menemukan mata akhir dan mendahului perlawanan buat kali pertama 24-23.

Namun beregu negara itu gagal mendapatkan mata kemenangan yang sebaliknya jadi milik Ji Ting-Xiang Yu dengan keputusan 27-25.
Skrip berbeza di set kedua, di mana wakil negara tampak telah mengambil iktibar daripada kejadian di set pertama, dengan persaingan sengit 7-7.

Tapi masih lagi didominasi oleh Ji Ting-Xiang Yu berkelebihan tipis 11-10 mengatasi beregu negara yang kini menghuni ranking ketiga dunia menuju interval set kedua.

Selepas itu, corak permainan lebih agresif dijelmakan oleh Aaron-Wooi Yik untuk berada 17-12 di depan, dan kemudian membawa perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-18.

Kali ini kelebihan tipis milik Aaron-Wooi Yik dengan mata 11-10, dan aksi sengit ini berterusan ketika mata 12 sama dengan ‘rally’ terpanjang perlawanan sebanyak 79 pukulan.

Kesilapan demi kesilapan bawa padah buat pasangan negara, yang akhirnya terpaksa akur tewas 17-21 sekaligus meranapkan impian untuk berada di pentas final Jelajah Dunia BWF buat kali kelima tahun ini.

sumber:- SA

Aksi penutup kalendar 2023 buat Aaron-Wooi Yik adalah di Finals Jelajah Dunia BWF yang bakal berlangsung pada pertengahan Disember di Hangzhou, China.