sukan

Nama Junior Eldstal jadi sebut-sebutan

Tatkala orang ramai memberi tumpuan kepada penjaring gol, Darren Lok dan kelincahan Arif Aiman Hanapi serta Faisal Halim dalam perlawanan antara Taiwan dan Malaysia malam tadi, mungkin ramai terlepas pandang kepada pemain pertahanan, Junior Eldstal yang memberikan aksi terbaik, sekali gus menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi.

Pujian harus diberikan kepada pemain tinggi lampai itu apabila membalas kembali kepercayaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dengan menampilkan permainan begitu meyakinkan.

Malaysia turun dalam misi wajib menang pada perlawanan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu dan Pan-gon melakukan empat pertukaran termasuk meletakkan Junior untuk bergandingan bersama ketua pasukan, Dion Cools.

Ternyata gandingan itu membentuk kekentalan barisan pertahanan negara apabila hampir semua bola hantaran tinggi pemain Taiwan kepada penyerang mereka berjaya dipintas dan dimenangi oleh Junior dan memudahkan kerja Syihan Hazmi mengawal benteng terakhir.

Meninjau ruangan komen Facebook Malaysia National Football Team, ramai peminat teruja dan memuji permainan ditampilkan pemain berusia 31 tahun itu layak diangkat pemain terbaik dan pilihan Pan-gon menurunkan pemain itu sememangnya pilihan tepat.

“Duo center back kacukan mantap. Dion Cools dan Junior Eldstal. Setuju dengan Junior pemain terbaik malam ini,” kata Nelson Hung.

“Junior berjaya menenggelamkan sifat skeptical ragu-ragu saya terhadap beliau semasa lagu Negaraku dinyanyikan dan ternampak beliau dalam barisan pemain utama,” kata Fathul Md Isa.

“Bola tinggi semua boleh dekat dia (Junior Eldstal). Tepat pula jangkaan,” kata Mohd Jefri.

sumber:- HM

“Junior paling terbaik malam ini. Kim Pan-gon tahu Taiwan akan main bola atas saja dengan fizikal, 100 peratus Junior menang bola di udara. Junior memang sesuai untuk perlawanan macam ini (bermain bola tinggi). Kalau permainan laju memang tidak sesuai, “kata Ejarn Shah.