sukan

Komen Subkhiddin hukuman yang dikenakan FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tepat apabila ‘mengharamkan’ bekas pemain import Selangor, Yazan Al Arab seumur hidup daripada terbabit dengan aktiviti bola sepak di negara ini.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan tindakan tegas yang diambil badan induk bertepatan dengan keperluan keselamatan, pendidikan dan kawalan untuk masa hadapan dalam sukan bola sepak negara.

Malah, Subkhiddin menegaskan bahawa kehilangan Yazan tidak perlu diratapi kerana dia umpama ‘kanser’ yang perlu dibuang dari badan sebelum menjadi lebih parah.

“Sudah acap kali peristiwa yang mencemarkan ‘peranan sukan bola sepak dalam pembentukan sahsiah kehidupan’ diceroboh secara liar dan biadap di peringkat negeri dan daerah.

“Mereka yang bermain di peringkat ‘bawahan’ ini mudah terikut dengan ‘idola’ mereka di peringkat lebih tinggi. Sebab itu saya agak lantang sebelum ini sekali pun suara saya tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

“Kali ini, saya ingin berikan pujian kepada FAM kerana dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan beberapa gelagat biadap yang perlu ditangani dengan cemerlang untuk masa hadapan bola sepak negara kita secara menyeluruh.

“Ia meliputi bakat baharu pemain dan pegawai perlawanan, pentadbir, penyokong yang lebih bijak dan mereka yang ingin terbabit dengan bola sepak secara umumnya,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan hukuman penggantungan empat perlawanan ke atas Yazan bagi pertuduhan pertama kerana meluru ke arah pengadil perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata dan menarik bahu serta menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, 24 September lalu.

Bekas pemain Selangor itu juga digantung seumur hidup daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia bagi pertuduhan kedua membabitkan tindakan agresifnya menyepak bahagian punggung pengadil dan meludah ke arah pengadil.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menyifatkan tindakan menyepak dan meludah pengadil yang dilakukan oleh Yazan adalah sangat berat dan keterlaluan.

Justeru, beliau berkata hukuman berat yang dikenakan ke atas Yazan patut menjadi pengajaran kepada semua pemain lain bukan sahaja dalam Liga Malaysia (Liga M), malah turut membabitkan kejohanan di peringkat bawah.

“Itu kes berat, wajarlah (hukuman Yazan) kalau sepak dan ludah pengadil. Ludah itu menghina dan saya setuju dengan tindakan FAM. Pegawai perlawanan adalah ‘raja’ dalam padang dan mereka harus dijaga.

“Jika tidak, siapa pun tak mahu jadi pengadil selepas ini. Perkara ini (menyerang pengadil) juga banyak berlaku dalam beberapa liga peringkat bawah ketika ini. Jadi tindakan ke atas Yazan memang harus dijadikan sebagai pengajaran.

sumber:- BH

“Memang tidak dinafikan pengadil juga ada melakukan kesilapan, tetapi pemain atau pihak tertentu harus mengambil tindakan mengikut saluran yang betul termasuk mengemukakan aduan kepada pihak berwajib,” katanya.