sukan

Malaysia bukan lagi dilihat ‘skuad picisan’ — Pan Gon

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu membuka buku baharu dengan memastikan pasukan kebangsaan bukan lagi dilihat ‘skuad picisan’ yang mudah dijinakkan lawan seperti Taiwan.

Pan-gon berkata, walaupun rekod pertemuan terdahulu menyaksikan skuad Harimau Malaya bergelut untuk mencipta kemenangan terhadap Taiwan, situasi terbabit hanya tinggal sejarah kerana pasukan kebangsaan kini sudah berwajah baharu.

Beliau berkata, barisan pemain skuad negara semakin berselera besar apabila meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Kami sememangnya menghormati Taiwan dengan rekod pertemuan sebelum ini memberi kelebihan kepada mereka.”Namun, perlu diingatkan kami mahu mencipta sejarah baharu dengan layak ke pusingan seterusnya. Kami sekarang ini mempunyai pasukan dan pemain yang berbeza.

“Misi kami jelas dan besar iaitu mahu layak ke pusingan seterusnya dan itu menjadi matlamat utama kami untuk memenangi perlawanan dengan Taiwan esok,” katanya dalam sidang media praperlawanan menentang Taiwan, hari ini.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Taiwan, malam esok bagi perlawanan kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan sasaran mengutip tiga mata penuh.

Berdasarkan kepada ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (Fifa) ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-137 manakala Taiwan di tempat ke-152.

Selain itu, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berkata, cuaca sejuk di Taiwan sebenarnya memberi kelebihan kepada pemain untuk beraksi lebih baik pada perlawanan terbabit.

sumber:- HM

“Saya lihat tidak menjadi masalah apabila cuaca di negara ini agak sejuk berbanding di Malaysia.”Pemain tidak berhadapan masalah kerana berpendapat lebih baik sejuk berbanding terlalu panas,” katanya.