sukan

Dion Cools tegaskan Malaysia sedia gempur Taiwan

Kapten skuad kebangsaan, Dion Cools menegaskan bahawa barisan pemain Harimau Malaya sudah bersedia untuk memasuki gelanggang pertarungan dengan Taiwan, esok.

Pemain pertahanan Buriram United itu berkata, sasaran utama pasukan bagi aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan adalah untuk membawa pulang tiga mata.

Justeru, dia menjelaskan bahawa semua pemain sedar apa yang perlu dilakukan demi memastikan kemenangan kedua dalam Kumpulan D dapat diraih Harimau Malaya.

“Saya percaya pasukan mempunyai keupayaan untuk mencipta sesuatu yang positif dalam perlawanan esok dan kami juga melakukan persiapan yang baik.

“Kami ada sasaran yang ingin dicapai dan kami akan berusaha melakukannya. Kami tidak boleh meletakkan lebih banyak tekanan kerana kami mahu lakukan sesuatu sebagai satu pasukan.

“Perlawanan esok sangat penting kerana kami meletakkan sasaran untuk ke peringkat seterusnya. Jadi kami harus mencari kemenangan dan mendapat tiga mata,” katanya.

Cools beraksi cemerlang apabila meledak dua gol ketika membantu Harimau Malaya bangkit menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan dia dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.

Seandainya berjaya mengalahkan Taiwan, ia akan membuka peluang lebih cerah untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan seterusnya apatah lagi lawan mereka selepas ini ini (Mac tahun hadapan) adalah pasukan pilihan dalam Kumpulan D, Oman.

sumber:- BH

Oman berada di kedudukan teratas kumpulan selepas menewaskan Taiwan 3-0 pada aksi pertama, berkongsi tiga mata bersama Malaysia di tangga kedua.