sukan

Komen pengendali Taiwan menjelang aksi berdepan Malaysia baharu

Taiwan mengharapkan bantuan daripada penyokong dalam usaha untuk menjinakkan Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Municipal, Selasa ini.

Perkara itu dilaungkan pengendali Taiwan, Gary White dengan pengendali dari England itu memasang impian besar untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bersama skuad Blue Wings di gelanggang sendiri.

“Ini rumah kami, kami memerlukan penyokong dan rakan untuk hadir dan menang bersama kami,” kata White di laman Facebook Persatuan Bolasepak Taiwan (CTFA).

Taiwan tidak tewas dalam tiga aksi di gelanggang sendiri sejak White dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan negara itu buat kali kedua pada Mei lalu.

Untuk rekod, White pernah menggalas tugas sama pada 2017 sebelum dia mengemudi skuad kebangsaan Hong Kong pada 2018.

Taiwan yang menghuni ranking ke-152 dunia terdesak untuk meraih kemenangan ke atas Malaysia selepas tewas 0-3 kepada Oman dalam aksi pertama Kumpulan D, Khamis lalu.

Kekalahan kepada Oman di gelanggang lawan menyaksikan skuad itu berada di kedudukan tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata.

sumber:- BH

Harimau Malaya dilihat akan tampil dengan motivasi lebih baik susulan kejayaan menewaskan pasukan di ranking 97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.