sukan

Dion Cools beri peringatan, Jangan tertipu

Kapten skuad Harimau Malaya, Dion Cools memberi peringatan supaya tidak tertipu terhadap ranking lawan yang berada di kedudukan lebih rendah pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Hal ini kerana, Cools berkata, skuad Harimau Malaya perlu lebih berhati-hati terhadap kebangkitan Taiwan pada perlawanan kedua yang akan berlangsung di Stadium Perbandaran Taiwan, Selasa ini.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, Taiwan ketika ini berada di ranking ke 152 manakala Malaysia di kedudukan 137 dunia sekali gus sepatutnya tidak menjadi masalah besar kepada skuad Harimau Malaya untuk mengutip tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan D.

“Pada saya ranking tidak membawa sebarang makna kepada pasukan kerana paling penting adalah pemain beraksi dengan baik pada perlawanan terbabit.

“Setiap pemain perlu hormati pasukan lawan walaupun kita berada di kedudukan lebih tinggi namun mereka (Taiwan) juga mempunyai sasaran seperti kita.

“Barisan pemain juga perlu fokus dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama pada perlawanan menentang Kyrgyzstan tempoh hari,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila berjaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kelmarin.

sumber:- HM

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Taiwan awal pagi esok bagi mengharungi perlawanan kedua kumpulan D dengan sasaran mengutip tiga mata penuh.