sukan

Arif Aiman akui terkejut

Kelibat pemain berjersi nombor 12 dari Malaysia pasti terpahat dalam minda pemain Krygyzstan apabila dua pasukan itu sekali lagi akan membuat perhitungan pada aksi kedua, Jun tahun depan.

Mana tidaknya, pemain berjersi nombor 12 bernama Arif Aiman Hanapi itu menjadi ‘pemusnah’ buat Kyrgyzstan selepas terbabit dalam semua empat gol yang dihasilkan Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, malam tadi.

Dua sepakan sudut pemain berusia 21 tahun itu ditanduk masuk Dion Cools untuk gol pembukaan dan gol penyamaan selain gerakannya menyebabkan Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri untuk gol kedua Malaysia.

Kemuncaknya adalah ‘tarian’ Arif Aiman di minit akhir yang dibantu dengan gerakan Endrick dos Santos membolehkan dia melorongkan kepada Faisal Halim yang menyudahkannya untuk gol kemenangan negara.

Meskipun tidak meletakkan nama selaku penjaring namun empat bantuan gol yang dilakukan pemain itu menjadikan dia sebagai antara pemain paling menyerlah bagi aksi pertama kelayakan itu.

Namun bagi pemain lincah itu, dia sendiri tidak menjangka skuad kebangsaan mampu bangkit selepas ketinggalan dua gol ketika saingan berbaki 20 minit lagi.

“Terkejut juga kerana kita kena (bolos) tiga gol tetapi tiada sebab untuk kami mengalah, jadi kami terus lakukan yang terbaik dan dapatkan tiga lagi gol untuk menang”

“Tak percaya juga dapat bangkit kerana kami menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan.

sumber:- BH

“Kemenangan ini sangat penting untuk kami mendapat tiga mata dan juga mata ranking,” kata Arif.