sukan

Nyaris makan diri

Sikap terlampau yakin dan memandang rendah terhadap lawan hampir memakan diri Harimau Malaya ketika aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui dia menasihatkan pemain Harimau Malaya di dalam bilik persalinan supaya lebih menghormati lawan terutama Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-97 dunia.

Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun menegaskan bahawa kebangkitan dramatik ketika menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dicetuskan oleh pemain dan seluruh penyokong Harimau Malaya.

“Sebelum separuh masa kedua, kami jelaskan kepada pemain bahawa kita perlu sedar di mana kita berada, kita bukan pasukan teratas. Kita perlu yakin tetapi tidak boleh terlampau yakin.

“Kita perlu merendah diri dan hormat pasukan di ranking ke-97 dunia. Apa pun, kami bermula baik, menjaringkan gol, menguasai permainan dan mengikut segala perancangan.

“Terima kasih kepada pemain dan penyokong, mereka melakukan tugas dengan baik. Kemenangan ini penting untuk menggembirakan seluruh peminat Harimau Malaya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

sumber:- BH

Terdahulu, Harimau Malaya yang berada di ranking 137 dunia bangkit dari ketinggalan 3-1 untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dengan Faisal Halim meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.