sukan

Skuad Malaysia termahal

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa skuad Harimau Malaya yang ‘dibentuk’ bagi menghadapi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan ini bernilai €6.5 juta atau RM33 juta.

Jumlah itu adalah nilai pasaran keseluruhan 25 pemain yang di panggil ketua jurulatih, Kim Pan Gon berdasarkan tanda harga diletakkan laman antarabangsa, transfermarkt.com.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United memegang status pemain termahal dalam skuad iaitu dengan nilai pasaran RM3.8 juta.

Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2021 dan 2022 pula pemain kedua termahal apabila diberikan tanda harga RM2.3 juta.

Seorang lagi tonggak JDT, Matthew Davies yang beraksi di bahagian pertahanan berada di tangga ketiga dengan nilai pasaran RM2 juta diikuti bintang Selangor, Faisal Halim di kedudukan keempat.

Faisal yang menjadi antara tonggak penting Harimau Malaya berdasarkan kelincahan dan keupayaannya meledak jaringan memiliki nilai pasaran RM1.9 juta.

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menjadi dua pemain yang memiliki nilai pasaran terendah dalam skuad Harimau Malaya ketika ini dengan tanda harga RM500,000.

Keputusan Pan Gon memanggil Sumareh mencetuskan kritikan dalam kalangan peminat tempatan kerana dia sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya selain kurang mendapat peluang bermain di JDT.

Nilai pasaran tertinggi yang pernah diletakkan laman berkenaan terhadap Sumareh adalah RM1.4 juta pada November 2019 yang mana ketika itu dia bermain bersama pasukan Pahang.

sumber:- BH

Harimau Malaya mengharungi aksi pertama Kumpulan D berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini dan akan menentang Taiwan bagi aksi kedua, 21 November ini.