sukan

6 aksi paling mustahak buat skuad Pan Gon

Enam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 begitu mustahak buat skuad Harimau Malaya dalam misi mereka mencapai ke tahap seterusnya dan demi kelangsungan bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan aksi berdepan Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman boleh menjadi medan ujian terbaik buat skuad bimbingan Kim Pan Gon untuk ‘menyentuh’ taraf Asia.

“Selepas kita meraih beberapa keputusan positif secara konsisten, ini juga untuk kelangsungan bola sepak kita juga seperti yang dimahukan penyokong kita.

“Ini jadi ‘test drive’ untuk tengok kalau kita tidak boleh layak ke pusingan seterusnya dan tak boleh makan tiga pasukan ini, ini maknanya kita belum sampai ke tahap untuk mencabar pasukan yang berada dalam kelompok 10 hingga 19 Asia.

“Jadi ia bermula dengan aksi berdepan Kyrgyzstan, Khamis ini dan bukan perlawanan ini sahaja tetapi semua aksi. Selepas ada sedikit peningkatan dalam tempoh dua tahun ini, kita kena teruskan dan ini (pusingan kelayakan) akan menjadi titik pengubahnya.

“Kalau kita layak ke pusingan seterusnya, kita akan mendapat banyak manfaat antaranya kita tidak mahu terlepas peluang menguji pasukan terkemuka Asia.

“Kalau kita tak layak, mungkin kita terpaksa mengadakan pasukan persahabatan dengan pasukan di ranking bawahan sahajalah,” kata Hamidin pada sidang media khas di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam masa sama, Hamidin turut menjelaskan ini bukan bermakna saingan Piala Asia 2023 tidak penting buat pemain tetapi aksi kelayakan lebih penting memandangkan ia memberi banyak kelebihan buat skuad negara.

“Bukan saya nak katakan Piala Asia nanti tidak penting tetapi kita harus ingat, kita berdepan tiga perlawanan di Piala Asia dan boleh mengutip mata untuk ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Tetapi kalau kita layak ke pusingan seterusnya dalam kelayakan ini, kita mencipta sejarah layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia, layak automatik ke Piala Asia 2027, ranking yang lebih baik selain peluang menentang pasukan terkemuka Asia.

“Ada lagi beberapa perkara lain yang pasti dapat membantu bola sepak kita kalau kita dapat layak ke pusingan seterusnya untuk kelayakan itu nanti,” katanya.

Justeru, Hamidin mengharapkan peminat setia skuad kebangsaan dapat terus menjadi ‘pemain ke-12’ dan hadir memberi sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membakar semangat anak buah Pan Gon.

sumber:- BH

“Saya harap penyokong dapat terus memberi sokongan sebagai pemain ke-12 bermula dengan aksi menentang Kyrgyzstan, Khamis ini,” katanya.