sukan

Luqman sedia fikir tawaran

Selepas berkelana hampir tiga musim di Eropah terutamanya di Belgium dan Iceland, akhirnya penyerang sensasi muda negara Luqman Hakim Shamsudin akui sedia mempertimbangkan tawaran lain termasuk beraksi di Asia mahupun Liga Malaysia.

Begitupun Luqman menegaskan, segala pintu perbincangan itu hanya akan berlaku sebaik berakhirnya Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun di Qatar berakhir pada April depan sebelum memikirkan peluang lain.

Luqman yang kini berada di Belgium bersama KV Kortrijk (KVK) akui, dia mahu jadikan pentas Piala Asia sebagai platform mengembalikan sentuhannya yang pernah dinobatkan sebagai penyerang muda terbaik di benua ini apabila muncul penjaring terbanyak di Piala Asia B-17, pada 2018 lalu.

Malah, dia juga pernah tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian sekali gus menjadi buruan kelab-kelab Eropah sebelum mengikat kontrak lima musim bersama KVK pada 2020 lalu.

Kemuncaknya pada 24 Oktober 2020 apabila impian anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu untuk meraih penampilan pertama di liga utama Belgium, Jupiler Pro League menjadi kenyataan apabila dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany.

Susulan itu, dia juga memahat sejarah apabila muncul sebagai pemain pertama Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

“Sekarang ini saya dah kembali di KVK selepas dipinjamkan dengan kelab Iceland (UMF Njardvík). InsyaAllah dengan pengalaman yang saya raih di Iceland, saya mahu merebut tempat dalam pasukan B-23 KVK.

“Saya mahu kekalkan prestasi dan stamina hingga bulan April tahun depan sebelum membantu pasukan negara di Piala Asia nanti. Di sana, saya mahu bantu pasukan dan cuba membantu pasukan mara sejauh mungkin.

“Selepas Piala Asia, InsyaAllah saya sedia memikirkan (tawaran) pasukan lain dan cuba cari pengalaman baharu. Apa yang penting sekarang, saya nak kekal dulu di KVK sekarang ini bagi meneruskan latihan sehingga April tahun depan supaya saya lebih bersedia di Piala Asia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya lagi, fokusnya buat masa ini adalah untuk meningkatkan lagi tahap dan aspek permainannya di mana Luqman mahu menjadikan saingan Piala Asia sebagai pentas kebangkitan.

“Kalau contoh, jika saya balik bermain kelab di Malaysia sekarang…liga di Malaysia akan habis tak lama lagi. Jadi kalau saya kekal di sini (di KVK), saya akan kekal menjalani latihan dari Januari hingga April nanti.

“Saingan B-23 di Belgium ini amat kompetitif dan saya yakin mampu kekalkan momentum sehingga bermulanya Piala Asia di Qatar nanti,” katanya yang ‘lahir’ daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

sumber:- HM

Ditanya tentang tawaran kelab dari Liga Malaysia, Luqman akui sememangnya sudah ada beberapa tawaran kelab tempatan namun dia hanya akan membuat keputusan selepas Piala Asia.