sukan

Hasrat kem JDT tambah koleksi kejuaraan tidak kesampaian

Terengganu FC II (TFC II) mengesahkan status selaku skuad Bawah 23 tahun (B-23) terbaik musim ini selepas menjulang Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 hasil kemenangan 1-0 ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDTII) pada aksi final, sebentar tadi.

Pemain gantian, Muhammad Isa Raman muncul wira TFC II di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras apabila meledak gol kemenangan ketika masa sebenar berbaki tiga minit selepas menghukum kesilapan pertahanan JDT II.

Selaku juara sulung Piala MFL, skuad bimbingan Hairuddin Omar berada pada kelas tersendiri apabila meneruskan penguasaan selepas mengungguli Kumpulan A dan pada peringkat Juara Piala MFL sebelum ini.

TFC II turun dengan seorang pemain import, Jordan Mintah untuk membantu serangan sementara JDT II menambah kekuatan mereka dengan menyenaraikan Shane Lowry dan Oscar Arribas selain kehadiran Endrick dos Santos di bahagian tengah.

Pada aksi terbabit, TFC II bermula garang apabila melancarkan dua percubaan dalam tempoh dua minit pertama – pertama menerusi rembatan Syahmi Zamri yang tersasar disusuli tandukan Mintah yang diselamatkan Zulhilmi Sharani.

Memasuki 15 minit perlawanan, JDT II mula mendapat rentak dan melancarkan beberapa percubaan namun tidak cukup untuk menggugat gawang kawalan Nazul Izamil Zulkifli.

Kedua-dua pasukan terus buntu untuk mencari gol pembukaan dan babak pertama tamat dengan keputusan 0-0.

Bersambung babak kedua, TFC II terlepas peluang meraih gol pertama apabila Muslihuddin ‘Atiq yang berada pada kedudukan terbaik di depan gol melakukan rembatan yang terlalu tinggi melewati palang gol.

JDT II turut memperoleh peluang tetapi tandukan Shane Lowry tepat ke dakapan Nazul Izamil pada minit ke-54 sebelum percubaan Syahmi pada minit ke-64 turut tersasar ke sebelah kiri gawang gol JDT II.

Nazul Izamil berjaya menyelamatkan TFC II daripada dibolosi pada minit ke-80 apabila menepis keluar sepakan percuma Arribas.

sumber:- BH

Kesilapan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri gagal menahan bola dengan kemas pada minit ke-87 dimanfaatkan Muhammad Isa yang melakukan percubaan jauh menewaskan Zulhilmi untuk gol kemenangan TFC II.