sukan

Liverpool kalah mengejut

Luis Diaz bermula dalam kesebelasan utama Liverpool beberapa jam selepas bapanya yang diculik dibebaskan namun tewas 3-2 di tangan Toulouse awal pagi tadi ketika West Ham memastikan mereka akan beraksi di Eropah pada 2024 manakala Leverkusen muncul pasukan pertama layak ke peringkat kalah mati.

Kekalahan mengejut di Perancis hadir menerusi gol Aron Donnum, Thijs Dallinga dan Frank Magri yang menyaksikan Liverpool mengalami kekalahan sulung mereka dalam kempen Liga Europa musim ini.

Bagaimanapun, perlawanan itu berakhir dengan kontroversi apabila pembabitan VAR menyaksikan gol penyamaan jaringan Jarell Quansah pada masa kecederaan dibatalkan.

“Kami berhak kalah kerana mereka memenangi banyak perebutan bola,” kata bos Liverpool, Jurgen Klopp ketika pasukannya terlepas peluang melayakkan diri ke pusingan kalah mati lebih awal.

Toulouse kini mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan tiga mata di depan pasukan tangga ketiga St Gilloise dalam Kumpulan E.

Pada minit ke-36, Donnum merampas bola daripada Kostas Tsimikas sebelum merembat masuk gol yang terbias bagi membantu Toulouse mendahului sebelum rehat.

Pasukan tuan rumah mendapat gol kedua apabila Dallinga menewaskan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher pada minit ke-58.

Gol sendiri Cristian Casseres pada minit ke-73 memberikan Liverpool talian hayat tetapi tuan rumah, yang bersemangat susulan sorakan padu penyokong mereka, bertindak balas serta-merta.

Tiga minit kemudian, Kelleher tidak dapat menangani satu hantaran lintang dan Magri berada di tempat yang tepat untuk mengembalikan kelebihan dua gol Toulouse.

Diogo Jota, yang menggantikan Diaz, menjaringkan gol kedua untuk Liverpool pada minit ke-89.Tuan rumah mampu bertahan untuk meraih tiga mata, namun tidak sebelum gol penyamaan pada minit ketujuh masa kecederaan oleh Quansah dibatalkan selepas reviu video menyaksikan bola terkena tangan terlebih dahulu dalam gerakan gol itu.

Juara Liga Konferens Europa musim lalu, West Ham mengalahkan Olympiakos menerusi gol tunggal Lucas Paqueta pada minit ke-73 yang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengungguli Kumpulan A dengan sembilan mata dan mereka sudah memastikan beraksi sama ada dalam Liga Europa atau Liga Konferens Europa pada tahun baharu.

Dalam Kumpulan B, Brighton berpeluang melangkah ke pusingan kalah mati selepas menang selesa 2-0 ke atas Ajax di gelanggang lawan.

Gol pada setiap babak menerusi Ansu Fati dan Simon Adingra memberikan The Seagulls kemenangan bergaya di Amsterdam.Kelab EPL itu kini mengumpul tujuh mata dan mendahului tiga mata di depan AEK Athens di tangga ketiga.

Kelab pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen memastikan mereka mara ke peringkat kalah mati dengan kemenangan 1-0 di Baku ke atas pencabar Kumpulan H, Qarabag.

Penalti jaringan Victor Boniface pada minit keempat masa kecederaan cukup membantu pasukan kendalian Xabi Alonso kemenangan keempat dalam empat perlawanan.

Dengan Liverpool dan Roma tewas, Leverkusen satu-satunya pasukan yang memastikan tempat ke pusingan berikut pada pertandingan itu.

Kejutan kedua terbesar hadir di Prague apabila Slavia Prague menundukkan Roma kendalian Jose Mourinho 2-0 untuk merampas tangga teratas Kumpulan G daripada kelab Itali itu.

sumber:- BH

“Saya tidak boleh menjelaskan perkara ini. Saya sendiri tidak tahu,” kata Mourinho. “Secara jujur saya katakan – Slavia memang berhak menang dan Roma memang patut kalah.” – AFP