PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid gembira kemasukannya di babak akhir permainan menentang Ulsan Hyundai berjaya menghasilkan jaringan kemenangan.
Lebih membanggakan, dia berjaya membuat jaringan ke atas penjaga gol kebangsaan Korea Selatan, Jo Hyeon-woo pada minit ke-87 sekali gus membolehkan JDT menang 2-1.
Pemain berusia 24 tahun itu akui berdebar ketika hendak diturunkan pada saat getir ketika skuad Harimau Selatan bergelut untuk memburu gol bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL).
“Sebelum diturunkan, ketua jurulatih (Esteban Solari) beri arahan tingkatkan serangan, terpulanglah sama ada nak menggelecek lawan atau sebagainya, itu terpulang pada saya.
“Ketika saya berjaya menghasilkan gol, saya berasa amat bersyukur kerana dapat membantu pasukan di saat-saat genting itu. Tak sangka ia rezeki saya malam ini, tambahan pula kami amat memerlukan keputusan ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, JDT berada di hadapan pada minit ke-44 hasil jaringan Heberty Fernandes sebelum Ataru Esaka menyamakan kedudukan pada minit ke-69.
Akhyar juga mengakui dia tidak menyangka menerima hantaran daripada Arif Aiman Hanapi yang membuat larian solo dari bawah.“Sebenarnya, saya menukar larian kerana nak membuka ruang kepada Arif Aiman untuk jaringkan gol, tidak sangka pula dia akan hantar bola kepada saya.
“Tanpa fikir panjang saya terus melepaskan rembatan melepasi penjaga gol kebangsaan Korea Selatan. Sebelum ini, saya kerap jadi supersub, jaringan ini amat bermakna buat kami,” katanya.