sukan

Jangan kacau kerja Kim Pan Gon

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon disifatkan mempunyai sebab mengapa menyenaraikan beberapa pemain ‘bukan pilihan peminat’ bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula esok.

Berdasarkan senarai 25 pemain yang dipanggil Pan Gon bagi persiapan dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan ini, beberapa nama pemain dipertikai segelintir peminat terutama Mohamadou Sumareh.

Ia susulan ada yang mempersoalkan mengapa pemain naturalisasi pertama negara itu dipanggil sedangkan dia sudah lama tidak bersama Harimau Malaya dan kurang mendapat peluang bermain dalam skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali bagaimanapun menganggap Pan Gon mempunyai alasan tersendiri dalam menentukan senarai pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Safee yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menjelaskan semua pihak harus memberi ruang dan sokongan untuk pengendali dari Korea Selatan itu mencorak strategi berdasarkan pemain yang dipanggil.

“Saya berasa kita patut serahkan segala perancangan kepada Pan Gon sebab dia yang lebih tahu (kenal pemain), setiap hari dia memantau pemain. Dia juga tahu bagaimana nak mencorakkan pasukan dia sendiri.

“Mungkin dalam senarai dia sudah tahu berapa nama yang harus dipanggil dan juga yang tak harus dipanggil. Skuad yang ada ini pun tak banyak berubah dan tidak akan menjejaskan keseluruhan pasukan Harimau Malaya,” katanya.

Sumareh bersama Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shahrul Saad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menjadi antara lima pemain baharu yang dipanggil Pan Gon berbanding skuad Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah dalam laporan BH Sukan semalam menyifatkan panggilan menyertai skuad kebangsaan kali ini sebagai peluang keemasan buat Sumareh untuk menutup mulut pengkritik.

Mengikut rekod, kali terakhir Sumareh disenaraikan dalam skuad kebangsaan adalah pada September tahun lalu bagi mengharungi Piala Raja Thailand.

Selain Sumareh, nama Dominic Tan turut dipertikai peminat susulan kesilapannya ketika final Pestabola Merdeka 2023 yang membolehkan Tajikistan memperoleh gol kedua dan merangkul kejuaraan dengan kemenangan 2-0 ke atas Harimau Malaya.

sumber:- BH

Harimau Malaya akan mengharungi aksi pertama Kumpulan D dalam kempen kelayakan berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November ini sebelum ke Taipei City untuk aksi kedua menentang Taiwan (21 November).