sukan

PDRM sekali lagi lakar kejutan

PDRM FC melakar kemenangan 3-2 menewaskan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.Kemenangan itu sudah pasti memberikan suntikan semangat buat skuad kendalian Datuk Yunus Alif sebagai persediaan menghadapi final Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023.

Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula garang apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan penyerang berbisa, Kpah Sherman selepas menewaskan penjaga gol lawan, Mohamad Ramadhan Ab Hamid seawal minit kelapan.

Pada minit ke-13, pemain tengah, Baqiuddin Shamsudin hampir menambah gol kedua buat skuad Tok Gajah tetapi bola sepakannya sedikit tersasar.

Pemain import, Kevin Ingreso turut terlepas peluang untuk membolosi gawang PDRM pada minit ke-19.

The Cops yang jarang melancarkan serangan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Bruno Suzuki yang mudah menyempurnakan penalti apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskon mendapati bola terkena tangan Ingreso dalam kotak penalti pada minit ke-35.

Pemain tengah PDRM, Dzulfahmi Abdul Hadi menjaringkan gol kedua buat The Cops pada minit ke-42 sebelum Suzuki menjaringkan gol ketiga pada minit akhir babak pertama perlawanan yang menyaksikan lawan selesa mendahului 3-1.

Ketinggalan 1-3, skuad kendalian Fandi Ahmad menggandakan asakan ke kubu lawan dan percubaaan menerusi tandukan Rafael Silva sedikit tersasar pada minit ke-53.

Pada minit ke-67, usaha tuan rumah berhasil apabila merapatkan jurang gol 2-3 apabila Stefano Brundo menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang hasil sepakan penalti selepas Zuhair Aizat Mohd Nazri dijatuhkan dalam kotak penalti.

sumber:- BH

Tuan rumah berusaha untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri tetapi terpaksa akur PDRM membawa pulang tiga mata.