sukan

Pan Gon ‘tunai’ hasrat TMJ

Hasrat pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melihat Mohd Afiq Fazail dan Syahmi Safari menyarung jersi skuad kebangsaan tercapai.

Sama ada kebetulan atau mereka memang menjadi pilihan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, nama dua pemain itu termasuk dalam 25 pemain yang dipanggil bagi latihan pusat bermula Jumaat ini.

Latihan pusat berkenaan bagi menghadapi perlawanan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan ini.

Bagaimanapun beberapa nama lain termasuk Syafiq Ahmad, Nathaniel Hong Wan dan Muhamad Feroz Baharudin yang turut dicanang Tunku Ismail sebelum ini diletakkan dalam senarai bersedia oleh Pan Gon.

Sebaliknya, pengendali dari Korea Selatan itu boleh dikatakan membuat kejutan apabila turut memanggil pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Tindakan itu mencetuskan sedikit pertikaian dalam kalangan peminat kerana dia sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya selain kurang mendapat peluang bermain di JDT.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam, Pan Gon mengekalkan 20 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat ketika Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Perkembangan itu menyaksikan Afiq, Syahmi dan Sumareh termasuk dalam lima pemain baharu yang kembali tersenarai kali ini bersama Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Shahrul Saad.

Afiq, Sumareh dan Syahmi sebelum ini berada dalam senarai bersedia ketika Pestabola Merdeka 2023 manakala Shahrul tidak tersenarai selepas didakwa mengalami kecederaan.

Menurut kenyataan FAM, dua pemain iaitu Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih pula tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Harimau Malaya akan berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November ini sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan (21 November).

sumber:- BH

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini mengingatkan bahawa tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam pemilihan pemain ke skuad kebangsaan dengan beliau turut mengakui hairan apabila beberapa pemain yang berada pada prestasi terbaik termasuk Afiq, Feroz, Syafiq dan Syahmi tidak dipanggil menyertai Harimau Malaya.