sukan

Luqman Hakim berjaya pikat Garrido

Penyerang muda yang beraksi di liga Iceland, Luqman Hakim Shamsudin termasuk dalam senarai 24 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bermula 13 hingga 21 November ini.

Berdasarkan senarai itu, Luqman menjadi satu-satunya pemain muda yang berpangkalan di luar negara dipanggil untuk latihan pusat kali ini selepas Nooa Laine termasuk dalam senarai panggilan ketua jurulatih skuad senior Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Luqman sebelum ini bersama skuad Harimau Malaya B-23 pada kempen kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Chonburi, Thailand, September lalu.

Latihan pusat skuad B-23 sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung April tahun depan dan ia kem pertama di bawah pengendali baharu, Juan Torres Garrido.

Garrido mengekalkan 17 daripada 23 pemain skuad kelayakan Piala Asia B-23 2024 dan memanggil dua pemain daripada senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Muhammad Abu Khalil.

Sementara itu, pengendali dari Sepanyol itu turut menyenaraikan lima muka baharu iaitu Daryl Sham George, Muhammad Firdaus Ramli, Muhammad Aiman Khairul Yusni, Muhammad Firdaus Ahmad Fuad dan Adam Farhan Mohd Faizal.

sumber:- BH

Seramai 16 pemain pula diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai 24 pemain itu.