sukan

Syarat baru untuk pasukan Liga Super bakal peningkan kepala

Beberapa pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim hadapan bakal pening kepala apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan mereka menghantar pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Keputusan berkenaan diputuskan FAM dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu, hari ini yang mana ia turut menjadi syarat bagi pasukan mendapatkan lesen untuk bersaing dalam Liga Super.

Perkembangan itu sekali gus dilihat bakal menambah bebanan buat pasukan Liga Super terutama dalam aspek kewangan bagi membentuk dua lagi pasukan muda selain skuad utama Liga Super dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun yang bersaing dalam Piala MFL.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memastikan pembangunan akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat tidak diabaikan.

“Sekarang ini kita harapkan pasukan ini mencari satu langkah sebab kita tak boleh nak tinggalkan pembangunan, ia perlu. Semua pasukan kena ada, kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain.

“Jadi maknanya kalau pasukan berbelanja RM10 juta, mereka kena peruntukkan juga untuk pembangunan. Kalau kita tak buat macam itu mereka mungkin belanja RM15 juta, RM20 juta, tetapi pembangunan tak ada.

“Kita nak pasukan yang berusaha nak pastikan prestasi terbaik bagi pasukan utama (Liga Super), dalam masa yang sama mesti fikirkan pembangunan akar umbi.

“Memang akan ada masalah dari segi kewangan, tetapi sekarang ini kita nak masing-masing (pasukan) bijak menguruskan kewangan tanpa meninggalkan hak pemain muda untuk beraksi,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

sumber:- BH

Pertandingan Piala Presiden (B-20) dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia (B-18) akan dimulakan pada April hingga September 2024 disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).