Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada aksi pusingan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Binan Football Laguna, Rabu ini.
Ini kerana tiga pemain tonggaknya termasuk dua pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni dan Muhammad Alif Zakaria serta pemain tengah, Liridon Krasniqi masing-masing mengalami kecederaan.
Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, daripada 19 pemain yang dibawa ke Filipina, beliau belum lagi membuat keputusan muktamad pemain mana yang bakal diletakkan di posisi pertahanan tengah, kiri dan tengah.
Terdahulu Shahrul Nizam yang beraksi baik ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia Jumaat lalu terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan betis.
Turut tidak bersama skuad Penyu ke Filipina pertahanan serba boleh, Muhammad Alif dan Liridon kerana masing-masing mengalami kecederaan keting dan hamstring.
“Saya belum lagi membuat keputusan siapa yang akan bermain menentang kelab Filipina itu kerana kami mempunyai 19 pemain dan sebahagian daripada mereka belum bersedia sepenuhnya.
“Tiga pemain iaitu Shahrul Nizam, Alif dan Liridon tidak bersama pasukan kerana masing-masing mengalami kecederaan selepas pertemuan dengan KL City tempoh hari, namun siapapun yang akan bermain, mereka perlu memberikan aksi yang terbaik.
“Beberapa pemain yang bermain ketika menentang Sri Pahang FC tempoh hari mungkin akan mendapat peluang untuk bermain semula, jadi ia sangat bagus,” kata jurulatih berusia 57 tahun itu.
sumber:=- BH
Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kedua-dua pasukan terikat dengan 2-2 sekali gus menyaksikan skuad Penyu kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan mengumpul lima mata di belakang pendahulu, kelab Australia, Central Coast Mariners dengan enam mata.