sukan

Luis Diaz muncul Wira Liverpool

Luis Diaz menyelamatkan Liverpool daripada kekalahan mengejut di Luton apabila seri 1-1 awal pagi tadi pada penampilan pertamanya sejak ibu bapanya diculik di negara asalnya Colombia.

Pemain sayap itu masuk sebagai pemain gantian beberapa ketika selepas Tahith Chong memberikan Luton gol pendahuluan 10 minit sebelum tamat.

Diaz melonjak tinggi dan menanduk masuk lima minit pada masa kecederaan sekali gus menafikan The Hatters kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris.

Ibunya diselamatkan beberapa jam selepas diculik pada 28 Oktober lalu, namun pencarian masih dilakukan terhadap bapanya Luis Manuel Diaz.

Pemain berusia 26 tahun itu mendedahkan kemeja-t yang tertulis “pembebasan buat bapa” selepas menjaringkan gol dan sekali lagi selepas perlawanan tamat.

“Ia satu saat mengagumkan tetapi ia tidak mengubah keadaan,” kata bos Liverpool, Jurgen Klopp. “Apa yang paling penting bapanya dibebaskan.

“Menakjubkan dia mahu berada di sini. Bagi kami ia satu gol yang terlalu penting dan baginya ia amat penting dan penuh emosi.”

Persembahan bertenaga Diaz jauh bertentangan dengan persembahan buruk The Reds.

Penyerang Uruguay, Darwin Nunez terlepas satu peluang terbaik ketika kedudukan terikat 0-0.

Mohamed Salah turut berpeluang menjaringkan gol menerusi tandukan dari jarak dekat 20 minit sebelum tamat.

Namun apabila percubaan pemain Mesir itu singgah di kaki Nunez, dia merembat melepasi palang sekalipun pintu gol sudah ternganga.

Liverpool terlepas peluang untuk menghuni tangga kedua liga namun melonjak ke tangga ketiga, di depan Arsenal menerusi perbezaan gol. Satu mata membolehkan Luton keluar dari zon penyingkiran. – AFP