sukan

Peluang JDT menyamai rekod yang dicipta Kedah

Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) menepati ramalan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung awal bulan hadapan.

Skuad Harimau Selatan dan Penyu sememangnya berhak untuk bertarung di final berdasarkan persembahan cemerlang yang dipamerkan sepanjang kejohanan itu.

Malah, kejayaan mereka melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia boleh dianggap sebagai ulangan final Piala FA musim lalu yang mana dalam perlawanan itu JDT menewaskan TFC 3-1.

Namun, pertembungan di final Piala Malaysia kali ini dijangka lebih sengit dan menarik dengan kedua-dua pasukan mengintai untuk mencipta rekod besar dalam kejohanan tertua itu.

Sekiranya berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, JDT boleh menyamai rekod yang dicipta Kedah memenangi kejuaraan ‘treble’ dua kali berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Berdasarkan persembahan ‘sempurna’ Harimau Selatan dalam saingan tempatan musim ini, skuad kendalian Esteban Solari dilihat memiliki peluang besar untuk melakar rekod itu.

Melihat kepada rekod pertembungan kedua-dua pasukan juga jelas memihak kepada JDT dengan kali terakhir mereka tewas kepada TFC adalah pada April 2021 dalam aksi Liga Super dan selepas itu Harimau Selatan menang tujuh kali dan seri sekali dalam lapan pertembungan dengan skuad Penyu.

Jika JDT mengintai gelaran ‘double treble’, TFC turut mempunyai impian untuk menjulang Piala Malaysia buat kali kedua selepas 22 tahun dan menjadi pasukan Liga Malaysia (Liga M) pertama menewaskan Harimau Selatan musim ini.

Jaguh dari Pantai Timur itu pernah melangkah ke final Piala Malaysia sebanyak enam kali sebelum ini, namun hanya sekali memenangi Piala Malaysia pada 2001 selepas menewaskan Perak 2-1.

Memasuki final Piala Malaysia buat kali ketujuh, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bagaimanapun bakal berdepan tugas yang sangat berat kerana mereka akan menentang JDT yang berstatus ‘Raja Bolasepak Malaysia’.

sumber:- BH

Harimau Selatan ternyata berada pada tahap terbaik apabila belum ada pasukan Liga M yang mampu mengalahkan mereka dalam mana-mana pertandingan tempatan sepanjang musim ini.