sukan

Pang Ron-Mei Xing terpaksa dipisahkan

Selepas menimbang beberapa perkara dalam usaha untuk memantapkan barisan pemain beregu campuran negara, jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengambil keputusan untuk memisahkan Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing.

Pang Ron kini akan mengalas misi bersama pasangan baharunya iaitu Cheng Su Yin dengan di Masters Korea di Gwangju bermula Selasa ini.

Aksi terakhir Pang Ron bersama Mei Xing adalah Terbuka Hong Kong September lalu yang menyaksikan mereka tersingkir di pusingan pertama.

Kata Nova, langkah itu dibuat selepas mengambil kira prestasi kedua-dua pemain berkenaan di sepanjang kejohanan disertai mereka sejak digandingkan Disember lalu.

“Keputusan ini di buat selepas menilai prestasi mereka. Kalau dilihat keputusan di kejohanan-kejohanan yang disertai mereka juga kurang bagus.

“Jadi, selepas perbincangan kita memutuskan untuk menggandingkan Pang Ron dengan Su Yin. Ini juga bagi membolehkan Mei Xing memberi fokus sepenuhnya dalam acara beregu wanita,” kata Nova.

Kata Nova, pemilihan Su Yin dibuat selepas menilai gaya permainan Pang Ron di dalam gelanggang dengan pemenang pingat perak Sukan Sea Kemboja yang sebelum ini bergandingan bersama Yap Roy King.

Dalam tempoh lebih kurang 10 bulan bersama, Pang Ron-Mei Xing merangkul dua gelaran juara iaitu pada Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 selain muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Iran 2023.

sumber:- HM

Pang Ron-Su Yin akan membuka tirai saingan di Masters Korea menentang wakil tuan rumah, Wang Chan-Shin Seung Chan di pusingan pertama.