sukan

Komen Pedas pengendali Arsenal selepas kecundang

Mikel Arteta melabelkan kekalahan 1-0 Arsenal di tangan Newcastle satu perkara yang memalukan selepas jaringan kemenangan kontroversi Anthony Gordon tetap diterima oleh VAR.

Gordon memberikan kekalahan pertama buat Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila dia meledak gol di babak kedua aksi di St James’ Park.

Arsenal berang dengan gol berkenaan, yang didakwa perlu dibatalkan kerana kekasaran Joelinton ke atas Gabriel.

Joelinton dilihat menolak pertahanan Arsenal, Gabriel ketika mereka bersaing merebut bola hantaran Joe Willock, dan Gordon menyempurnakannya untuk jaringan kemenangan Newcastle.

Selepas pemeriksaan VAR, tolakan Joelinton tidak dianggap satu kesalahan, dan dakwaan Arsenal yang bola sudah terkeluar sebelum Willock membuat hantaran lintang serta Gordon berada di kedudukan ofsaid juga tidak diterima.

“Ia bukan keputusan yang sepatutnya. Apa yang berlaku amat memalukan, bagaimana gol ini dibenarkan, di Liga Perdana Inggeris – liga yang kita anggap terbaik di dunia.

“Sudah 20 tahun saya berada di negara ini dan sekarang saya berasa amat malu. Ia satu keaiban,” kata Arteta.

Kekalahan kedua Arsenal minggu ini memberi kesan terhadap pemburuan kejuaraan mereka, selepas turut disingkirkan daripada Piala Liga oleh West Ham pada Rabu.

sumber:- BH

Ini adalah kali pertama Arsenal gagal menjaringkan gol dalam semua pertandingan musim ini. – AFP