sukan

TMJ beri perkenan

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi perkenan aksi kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November ini dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Perkara itu dimaklumkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam kenyataan, hari ini, selepas perkembangan terkini mengenai keadaan padang Stadium Nasional dipersembahkan kepada TMJ oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini.

“Keadaan padang itu sesuai untuk digunakan (playable), maklum balas ini dipersembahkan oleh Menteri Belia dan Sukan kepada Tunku Mahkota Johor.

“PSM menjunjung kasih atas perkenan yang diberikan (Tunku Ismail) untuk perlawanan

pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“PSM akan kekal komited untuk memastikan padang Stadium Nasional berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah yang sewajarnya,” jelas PSM.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa aksi sulung Kumpulan D itu akan berlangsung di Stadium Nasional.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional yang baharu dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia hasil sumbangan Tunku Ismail rosak teruk dan mendapat kritikan hebat ketika ia ‘dirasmikan’ Harimau Malaya dalam perlawanan sulung Pestabola Merdeka 2023 berdepan India, 13 Oktober lalu.

sumber:- BH

Malah, gelanggang sama turut digunakan bagi aksi final antara Malaysia dan Tajikistan, empat hari kemudian yang menyaksikan padang berkenaan juga masih mengalami kerosakan.