“Sememangnya Terengganu FC (TFC) layak ke pentas final Piala Malaysia pada musim ini, tahniah buat mereka.
“Saya harap TFC dapat menyaingi JDT (Johor Darul Ta’zim) untuk merangkul trofi,” kata pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Nenad Bacina selepas aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata demikian selepas pasukannya terpaksa akur dengan kekuatan skuad bimbingan rakan senegaranya, Tomislav Steinbruckner yang menang 2-1 dan 4-2 secara agregat.
Pada perlawanan itu, penyerang import TFC, Ivan Mamut berjaya mengotakan janjinya untuk menjadi watak pemusnah apabila meledak dua gol pada setiap babak manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Romel Morales pada babak kedua perlawanan.
Mengulas perlawanan itu, jurulatih berusia 52 tahun mengakui beliau sudah mengatur strategi lebih ampuh untuk menyaingi tuan rumah selepas ketinggalan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras bulan lalu.
Namun jelasnya, nasib tidak menyebelahi pasukannya yang terpaksa akur tewas dengan jaringan yang sama di depan lebih 25,000 peminat setia skuad Penyu.
“Kami datang ke sini (Kuala Terengganu) dengan strategi tertentu untuk memadam defisit satu gol, kami lihat pada awal permainan peluang untuk menjaringkan gol tetap ada, tapi malangnya tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama perlawanan, sebaliknya lawan berjaya meledak gol.
“Pada babak kedua selepas ketinggalan dengan satu gol, saya minta pemain fokus dengan mengamalkan corak permainan lebih menyerang, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 sekali gus berjaya membangkitkan semangat pemain untuk memburu jaringan seterusnya.
“Pemain kami berusaha untuk menambah jaringan, namun lawan lebih bijak memanfaatkan peluang sebelum menjaringkan gol kedua sekali gus menyaksikan kami ketinggalan 2-1, tapi ketika itu pemain tidak mudah menyerah kalah sebaliknya terus berusaha untuk memburu gol, namun tidak berhasil,” katanya.
Ketika ditanya adakah masalah tungakan gaji menyebabkan fokus anak buahnya sedikit terganggu, Bacina menjelaskan ia sama sekali tidak menjejaskan corak permainan anak buahnya.
sumber:- BH
“Setiap pasukan ada masalahnya yang tersendiri, saya tidak lihat masalah itu (tunggakan gaji) mengganggu fokus mereka, pemain begitu profesional lagipun pihak pengurusan sudah berusaha mencuba yang terbaik bagi mengatasi masalah itu,” katanya.