sukan

Penangguhan kedua rahmat buat Sabah

Penangguhan aksi Liga Super babitkan Sabah FC dan Kelantan FC yang sepatutnya berlangsung hari ini diakui memberi kelebihan buat anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Kelebihan dimaksudkan adalah Sabah meraih tempoh rehat lebih panjang memjelang aksi getir menentang Hai Phong FC dari Vietnam dalam saingan Piala AFC di Stadium Likas, Khamis depan.

Jelas Kim Swee, beliau akan menggunakan tempoh rehat itu untuk perbaiki kelemahan pasukan di mana buruan tiga mata menjadi sasaran selepas tumbang 2-3 di Hanoi sebelum ini.

“Selepas perlawanan dengan Kelantan ditunda sekali lagi, ini memberi banyak ruang bersiap sedia untuk perlawanan timbal balik dengan Hai Phong.

“Kita perlu menggunakan ruang ini untuk memperbaiki kelemahan ketika bermain dengan Hai Phong tempoh hari di Vietnam,” katanya.

Ketika ini, skuad The Rhinos menduduki tangga kedua Kumpulan H di belakang Hai Phong dengan masing-masing memungut enam mata, manakala PSM Makassar dari Indonesia di tangga ketiga dan kelab Singapura, Hougang United di tempat tercorot.

Ujar Kim Swee lagi, bagi empat lagi aksi Liga Super juga penting bagi memastikan pasukan itu mampu menamatkan saingan di kelompok tiga teratas.

“Semua perlawanan amat penting di mana selepas ini kita mempunyai empat lagi perlawanan liga (Liga Super) di mana kita masih lagi mempunyai peluang.

“Jika apa-apa berlaku pada pasukan di tangga ketiga dan keempat, di mana untuk kita mengakhiri liga kita di tiga tempat terbaik.

sumber:- HM

“Jadi tidak boleh ambil mudah walaupun pasukan Kelantan yang kita akan bermain nanti termasuk juga pasukan Terengganu, Perak dan Kedah di Likas,” katanya.