sukan

Ten Hag bakal dipecat

Gary Neville sudah memberi amaran kepada Erik ten Hag yang dia mungkin akan dipecat oleh Manchester United.

United tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas tewas 3-0 kepada Newcastle di laman sendiri, tiga hari selepas ditundukkan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

Ten Hag kini mencatat permulaan musim terburuk United sejak kempen 1962-63 dan skuad kendaliannya sudah tewas lima daripada 10 perlawanan pertama di laman sendiri buat julung kalinya sejak musim 1930-31.

United menamatkan saingan di tangga ketiga liga pada musim pertama Ten Hag dan mengakhiri kemarau enam tahun kejuaraan apabila menewaskan Newcastle pada final Piala Liga musim lalu.

“Semalam kini melihat Theatre of Dreams bertukar menjadi Theatre of Nothing. Semua penyokong United sudah mula bosan dan letih.

“Di atas padang pemain-pemain beraksi hambar, pengendali pula bergelut di depan mata kami.

“Kami pernah menyaksikannya sebelum ini, kami tahu bagaimana ia akan berakhir dan kami sudah bosan,” kata Neville.

Pengendali dari Belanda itu adalah pengendali tetap kelima sejak Alex Ferguson bersara selepas memenangi Liga Perdana Inggeris 2013.

David Moyes hanya bertahan sembilan bulan di Old Trafford, Louis Van Gaal pula dipecat selepas dua musim, walaupun memenangi Piala FA pada tahun 2015.

Jose Mourinho menjelmakan dua trofi, tetapi dipecat di pertengahan musim ketiganya ketika United ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga.

Ole Gunnar Solskjaer menggantikan Mourinho pada Disember 2018 sebelum dijadikan pengendali tetap empat bulan kemudian.

Pada Julai 2021, dua bulan selepas United tewas pada final Liga Europa menerusi penentuan penalti, pengendali dari Norway itu melanjutkan kontrak untuk tempoh tiga tahun.

sumber:- BH

Bagaimanapun, dia dipecat selepas empat bulan apabila United hanya mengutip 17 mata daripada 12 perlawanan pertama liga dan Solskjaer digantikan oleh Ralf Rangnick. – AGENSI