Menjadi pemain bola sepak profesional muda di negara asing, beribu-ribu kilometer (km) dari tanah air, sangat sukar dan mencabar.
Itulah yang dihadapi pemain bola sepak negara yang meningkat naik Annil Vigneswaran untuk mengejar impiannya sendirian di luar negara.
Annil yang mengikat kontrak selama setahun dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Waldhof Mannheim baru-baru ini berkata walaupun bola sepak Malaysia sudah mencapai kemajuan ketara, pemain asing masih mempunyai stigma terhadap penyertaan negara dalam perlawanan dan kejohanan peringkat antarabangsa.
“Anda boleh menjadi sebaik pemain dari negara lain, tetapi mereka akan sentiasa memilih pemain dari negara yang terkenal dengan prestasi bola sepaknya, jadi anda perlu berusaha lebih keras daripada mereka.
“Jika anda ingin mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama, anda perlu menunjukkan bahawa anda melakukan usaha yang lebih keras daripada orang lain, contohnya sekiranya pemain berlari 10 km, anda perlu berlari 15 km untuk menunjukkan bahawa anda mahu menjadi yang lebih baik,” kata atlet berusia 20 tahun itu ketika dihubungi Bernama.
Annil yang bermain bola sepak sejak berusia enam tahun berkata pada mulanya sukar baginya mengharungi latihan yang agresif, namun ia membantunya memperoleh kelebihan untuk memenangi pertandingan apabila membabitkan kekuatan fizikal.
Pemain muda itu mengakui bahawa menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran negara baharu adalah lebih sukar ketika beliau berkelana ke luar negara pada usia 12 tahun, ketika berumur 15 tahun, beliau berhadapan cabaran mempelajari bahasa Jerman secepat mungkin untuk memudahkan beliau berkomunikasi dengan jurulatih dan rakan sepasukan.
Bagaimanapun, masalah bahasa tidak menghalang Annil daripada mengejar impiannya. Beliau mula kerap bercakap dengan orang di sekeliling untuk memudahkannya belajar selain mendaftar di sekolah bahasa.
Dalam usahanya bergelar pemain profesional, Annil turut mengambil risiko dengan tidak bersekolah selama lebih tiga tahun untuk memberi komitmen sepenuhnya terhadap bola sepak, bermula pada usia 15 tahun.
“Untuk berjaya dalam bola sepak, ibu bapa mencadangkan supaya saya berhenti sekolah dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Mereka memberi jaminan bahawa saya boleh menyambung pelajaran bila-bila masa yang saya mahu, tetapi buat masa ini, saya perlu memberikan sepenuh perhatian kepada bola sepak,” katanya.
Perjalanan bola sepaknya bermula apabila Annil menyertai Ajax FC di Amsterdam, Belanda selama enam bulan ketika berusia 12 tahun. Kemudian beliau kembali ke Malaysia dan bermain untuk Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) FC.
sumber:- HM
Selepas itu, Annil terbang ke Jerman dan menghabiskan masa setahun beraksi dengan SGV Freiberg FC, kemudian meneruskan kerjaya bola sepaknya dengan Freiburg FC selama dua tahun sebelum menyertai SV Sandhausen.