Di sebalik terpalit dengan pelbagai isu dan prestasi hambar sepanjang musim ini, Kelantan FC masih memiliki ‘aura’ tersendiri dan sentiasa ‘laris’ untuk diperkatakan dalam kancah bola sepak tempatan.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menganggap situasi itu sebagai satu petanda positif sekali gus menyeru penaja supaya dapat bekerjasama dengan The Red Warriors untuk menikmati manfaat terbabit.
Malah, dia turut melihat penyokong Kelantan FC tetap setia memberikan sokongan kepada pasukan itu sekalipun pasukan gagal memperagakan aksi yang terbaik dan dibelasah dengan jaringan besar oleh lawan mereka pada musim ini.
“Walaupun Kelantan FC tercorot dan dibelasah tetapi penyokong masih fanatik, maknanya sesiapa sahaja yang masuk jadi penaja Kelantan FC, pulangan pelaburan (ROI) dari segi publisiti akan terjamin.
“Saya lihat ini satu benda yang positif kerana Kelantan FC sentiasa jadi berita hangat di setiap media. Kita boleh anggap bahawa jenama Kelantan FC itu masih kuat dan berpengaruh.
“Jadi apa yang boleh saya tekankan adalah jangan takut tak dapat ROI bersama Kelantan FC kerana dari segi publisiti, kita antara yang teratas,” katanya.
Sebagai rekod, musim 2023 bukanlah musim yang diimpikan pasukan mahupun penyokong Kelantan FC apabila mereka kini menghuni tangga tercorot Liga Super selepas mengharungi 22 perlawanan.
Mara ke Liga Super selaku naib juara Liga Perdana musim lalu, Kelantan FC yang sudahpun beberapa kali bertukar jurulatih pada musim ini gagal bersaing apabila sekadar merakam dua kemenangan setakat ini.
sumber:- BH
Situasi itu diburukkan dengan ‘isu luar padang’ membabitkan masalah tunggakan gaji yang menyaksikan ramai tonggak utama dan pemain import meninggalkan pasukan sehingga memaksa mereka menggunakan pemain muda untuk bersaing di Liga Super.