sukan

Sampai waktu saya tinggalkan bola sepak — TMJ

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan akan tiba masanya dia akan meninggalkan arena bola sepak kelak.

Ketika mengulas menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’, Tunku Ismail memberitahu bahawa setiap permulaan sudah pastinya ada pengakhirannya termasuklah apabila beliau memimpin JDT.

Namun, beliau menjelaskan selaku pemilik skuad Harimau Selatan, baginda sama sekali tidak boleh lari dari tanggungjawab dan mungkin harus mengubah pendekatannya untuk menguruskan pasukan selepas ini.

“Mungkin masanya (tinggalkan bola sepak) akan tiba nanti kerana sentiasa ada penghujung untuk sesuatu perjalanan itu. Saya tidak boleh berada dalam bola sepak selama-lamanya.

“Memang saya ada semangat dan minat dalam sukan terbabit tetapi mungkin satu hari nanti, saya akan katakan sudah cukup (dengan bola sepak).

“Tetapi saya memiliki JDT dan secara teknikalnya, saya tidak boleh lari dari situ. Mungkin saya tidak terbabit secara terus kerana buat masa sekarang, saya memang terbabit secara langsung dengan pengurusan,” katanya.

Tunku Ismail berkata demikian menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Selain itu, Tunku Ismail turut menjelaskan bahawa menubuhkan kelab bola sepak bukannya mudah kerana sudah pastinya berhadapan masalah kewangan untuk menguruskan pasukan.

sumber:- HM

“Jujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat berat dalam bola sepak di negara kita. Contohnya Kedah tak bayar gaji tiga bulan, Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.