sukan

Ungkapan TMJ gemparkan semua pihak

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menolak kemungkinan bahawa baginda bakal meninggalkan arena bola sepak satu hari nanti.

Menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ di Youtube, sebentar tadi, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor itu menegaskan baginda tidak boleh berada dalam bola sepak untuk selama-lamanya dan sentiasa akan ada pengakhiran untuk sesuatu perkara itu.

Namun baginda menjelaskan selaku pemilik skuad Harimau Selatan, baginda sama sekali tidak boleh lari dari tanggungjawab dan mungkin harus mengubah pendekatannya untuk menguruskan pasukan selepas ini.

“Mungkin masanya (tinggalkan bola sepak) akan tiba nanti kerana sentiasa ada penghujung untuk sesuatu perjalanan itu. Saya tidak boleh berada dalam bola sepak selama-lamanya.

“Memang saya ada semangat dan minat dalam sukan terbabit tetapi mungkin satu hari nanti, saya akan katakan sudah cukup (dengan bola sepak).

“Tetapi saya memiliki JDT dan secara teknikalnya, saya tidak boleh lari dari situ. Mungkin saya tidak terbabit secara terus kerana buat masa sekarang, saya memang terbabit secara langsung dengan pengurusan,” kata Tunku Ismail.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut mengakui baginda turut berdepan tekanan daripada segi kewangan dan bergelut untuk memastikan pengurusan pasukan itu dapat berjalan selancar mungkin.

“Jujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat berat dalam bola sepak di negara kita. Contohnya Kedah tak bayar gaji tiga bulan, Sabah, Kelantan dan Sarawak.

“Bukan mudah untuk menjaga kelab bola sepak kerana kita bagi duit tetapi manfaatnya sedikit. Walaupun JDT banyak bekerjasama dengan syarikat antarabangsa, kadang-kadang kita juga bergelut.

sumber:- BH

“Jadi kadang-kadang saya dan Duli Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar) terpaksa keluarkan duit sendiri,” katanya.