sukan

Sedih betul Kelantan FC

Kelantan FC yang beraksi secara profesional kini tampak bagai sudah menjadi seakan pasukan liga sosial kerana perlu ‘mengutip’ pemain daripada beberapa pasukan lain untuk turun beraksi.

Kekurangan pemain di pasukan utama menyaksikan pengendalinya, Angel Alfredo Vera terpaksa memanggil pemain daripada skuad pembangunan mereka supaya mereka memiliki skuad yang cukup untuk bertanding pada hari perlawanan.

Justeru, Vera mengakui situasi terbabit memberikan kesukaran kepada mereka untuk tampil dengan aksi yang terbaik namun dia tetap berbangga kerana pemain berjuang sehingga perlawanan berakhir.

“Saya tidak suka mencari alasan tetapi sangat susah untuk bersaing dengan pasukan yang memiliki skuad lengkap dan menjalani latihan yang baik. Seperti hari ini (malam tadi), kita memanggil satu (pemain) dari sana, satu dari sini untuk dikumpulkan sebelum bermain.

“Bukan salah pemain kerana kita tidak ada pasukan yang cukup kompetitif. Setiap pasukan ada skuad dengan 25, 27 hingga 30 pemain tetapi kita hanya berlatih dengan tujuh ke lapan pemain.

“Apabila mahu turun beraksi, kita panggil pemain untuk datang dan ada kalangan pemain ini yang baru mula untuk beraksi secara profesional.

“Tiada apa lagi yang boleh kami lakukan selain terus bekerja keras, memberikan usaha yang maksimum dan nikmati pertandingan ini. Kita akan selesaikan pertandingan ini dengan cara terbaik,” katanya.

Terdahulu, skuad ‘The Red Warriors’ terus menjadi ‘pasukan belasahan’ apabila tewas 0-8 di tangan Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

sumber:- BH

Tewas tiga aksi terakhir liga berturut-turut, ini bukanlah kekalahan terburuk mereka musim ini kerana mereka pernah dibelasah 0-8 oleh Terengganu FC (TFC), 0-10 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 2-11 oleh Selangor FC (SFC).