sukan

Liverpool berpesta gol

Liverpool mudah membelasah Toulouse 5-1 untuk merakam kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Europa awal pagi tadi, manakala Brighton menewaskan kelab gergasi Belanda, Ajax bagi kemenangan pertama kelab itu dalam pertandingan sebenua.

Diogo Jota meletakkan Liverpool di depan di Anfield tetapi Thijs Dallinga menyamakan kedudukan buat penyandang juara Piala Perancis itu.

Wataru Endo menanduk masuk gol sulungnya bersama The Reds untuk membantu mereka kembali mendahului selepas setengah jam sebelum Darwin Nunez merembat masuk gol ketiga tiga minit kemudian.

Ryan Gravenberch menambah gol keempat pada pertengahan babak kedua, menyepak masuk bola muntah selepas Nunez mengatasi penjaga gol namun percubaannya melantun di tiang gol. Mohamed Salah meraih gol kelima pada masa kecederaan.

“Bagi hampir keseluruhan perlawanan kami menguasai. Kami mencipta gol yang bagus, tiada siapa cedera, satu malam yang sempurna,” kata bos Liverpool, Jurgen Klopp kepada TNT Sports.

Liverpool mengungguli Kumpulan E dengan sembilan mata dan boleh memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir dengan satu lagi kemenangan di Perancis dalam tempoh dua minggu lagi.

Mereka unggul lima mata di depan Toulouse dan kelab Belgium, Union Saint-Gilloise, yang meledak dua gol lewat untuk mengatasi LASK dari Austria 2-1.

Brighton meraih kemenangan pertama di Eropah apabila menewaskan Ajax 2-0, mencetus lebih banyak masalah buat kelab yang berdepan krisis apabila berpisah dengan jurulatih Maurice Steijn pada Isnin lalu selepas hanya berkhidmat empat bulan.

Juara Eropah empat kali Ajax menghuni tangga kedua tercorot Eredivisie dan ketinggalan di Stadium Amex sejurus sebelum rehat menerusi tampanan Joao Pedro.

Ansu Fati menyumbat masuk gol kedua tuan rumah pada awal babak kedua untuk meletakkan anak buah Roberto De Zerbi satu mata di belakang pendahulu Kumpulan B, Marseille.

“Kemenangan pertama di Eropah buat Brighton. Ia satu hari hebat buat penyokong, kelab dan pemilik kami. Kami bangga untuk menghadiahkan mereka kemenangan ini,” kata De Zerbi kepada TNT Sports.

Rekod 17 perlawanan tanpa kalah West Ham di Eropah berakhir apabila tewas 2-1 di Olympiakos.

Kostas Fortounis merembat masuk dari jarak jauh bagi gol pendahuluan kelab Greece itu dan Rodinei menambah gol kedua sebelum rehat dengan percubaan yang terbias.

Lucas Paqueta melakukan tendangan voli lewat bagi gol sagu hati The Hammers, yang kekal mendahului Kumpulan A dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

“Kami perlu meningkatkan persembahan kami. Saya kecewa dengan permainan pada babak pertama. Ia satu perlawanan yang sukar tetapi kami perlu terus berjuang,” kata pengurus West Ham, David Moyes.

Dalam aksi Liga Konferens Europa, Aston Villa membenam kelab Belanda, AZ Alkmaar 4-1.

Leon Bailey dan Youri Tielemans membolehkan Villa mendahului dua gol pada babak pertama menentang pasukan yang hanya mencicirkan dua mata dalam Eredivisie musim ini.

sumber:- BH

Ollie Watkins dan John McGinn memastikan lawan sukar bangkit sebelum Ibrahim Sadiq membalas satu gol. – AFP