sukan

TFC bangkit dari ketinggalan

Terengganu FC (TFC) bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat kelab Filipina, Stallion Laguna FC, 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan TFC kekal di kedudukan kedua peringkat Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dengan lima mata manakala pelawat memperoleh mata pertama selepas tiga perlawanan.

Terdahulu pelawat kendalian Ernest Nierras mengejutkan tuan rumah apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi sepakan percuma Griffin McDaniel yang gagal diselamatkan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Ketinggalan satu gol, tuan rumah bangkit melakukan serangan balas pada minit ke-28 dan ke-29 menerusi Sony Norde dan Engku Shakir Engku Yacob, namun gagal menembusi kubu pelawat yang dikawal Hayeson Pepito.

Sebaliknya pelawat yang lebih banyak mendominasi permainan berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-40 menerusi Ngong Stephen.

Jaringan itu berpunca daripada percubaan pertama Juan Trujillo yang ditampan penjaga gol sebelum Stephen mudah merembat masuk untuk pasukannya mendahului 2-0.

Berbaki beberapa saat lagi sebelum masa babak pertama ditamatkan pengadil dari Lubnan, Ali Reda, pemain sayap, Norde berjaya merapatkan kedudukan apabila mudah menolak masuk gol pertama tuan rumah.

Gol itu berpunca daripada hantaran Ivan Mamut kepada Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob namun terkena pertahanan pelawat sebelum bola singgah di kaki pemain kelahiran Haiti itu untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner memasukkan dua tenaga baharu, Mohd Nor Hakim Hassan dan penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bagi menggantikan Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Engku Nur Shakir.

Namun gol penyamaan yang dicari masih belum menjelma walaupun tandukan Mamut pada minit ke-53 hasil hantaran Mohd Nor Hakim mencemaskan kubu pelawat.

sumber:- HM

Bagaimanapun akhirnya gol yang diidamkan menjelma pada minit ke-91 masa kecederaan menerusi Adisak yang berjaya menggamatkan lebih 2,000 peminat yang hadir apabila tandukannya hasil hantaran Norde menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.