sukan

Faktor Utama Aaron-Wooi Yik tarik diri sebelum masuk gelanggang

Keputusan menarik diri daripada Terbuka Perancis 2023 diputuskan selepas pemain beregu lelaki utama negara, Soh Wooi Yik mengalami kecederaan di bahagian paha kanannya.

Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Wooi Yik mula merasakan kesakitan di bahagian berkenaan ketika separuh akhir Terbuka Denmark minggu lalu namun pasukan mengambil pendekatan menunggu sehingga sebelum perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis, hari ini bagi melihat tahap kecergasannya.

Begitupun, keputusan itu dilihat tepat memandangkan Aaron-Wooi Yik juga perlu melalui tempoh perjalanan yang memenatkan dari Denmark ke Perancis dan ia dilihat baik untuk gandingan itu memperoleh ruang rehat selepas muncul juara di Terbuka Denmark.

“Semalam selepas latihan, Wooi Yik memaklumkan yang dia merasa sakit di paha yang sudah dirasakannya ketika di separuh akhir Terbuka Denmark namun dia paksa sehingga final dan muncul juara.

“Selepas itu, kami melalui satu perjalanan memenatkan (dari Denmark ke Perancis). Pada sesi latihan keesokan harinya, dia masih merasakan kesakitan di paha dan membuat keputusan mungkin tidak dapat bermain.

“Namun saya mengadakan mesyuarat dengan semua dan buat keputusan untuk melihat (kecederaan) sehingga pagi hari ini. Pagi ini, Wooi Yik membuat keputusan untuk tidak bermain kerana bimbang tahap kecederaan bertambah.

“Jadi, kami buat keputusan untuk menarik diri. Laporan dari pasukan fisioterapi mendapati tahap kecederaannya tidak teruk tetapi kalau dipaksa, mungkin tempoh pemulihannya akan lebih panjang.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya mereka membuat keputusan dan pemain beri keputusan untuk tidak bermain. Ini bagi saya, baik untuk proses pemulihan,” kata Rexy.

Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking ketiga dunia menarik diri sebelum memasuki gelanggang pusingan pertama Terbuka Perancis hari ini sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin mara ke pusingan seterusnya.

sumber:- BH

Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Jepun Masters dari 14 hingga 19 November dan bakal bertemu lawan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin di pusingan pertama.