sukan

Dua pemain paling dibenci penyokong julang Manchester United

Andre Onana dan Harry Maguire muncul wira yang tidak disangka-sangka ketika Manchester United menghidupkan semula kempen Liga Juara-Juara mereka dengan mengalahkan FC Copenhagen 1-0 pada malam yang mana Bobby Charlton diingati di Old Trafford.

Pertahanan tengah yang kerap diejek Maguire menanduk masuk gol tunggal 18 minit sebelum tamat sebelum Onana menyelamatkan sepakan penalti Jordan Larsson pada minit terakhir.

Kelab gergasi England itu tumpas dua perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah, namun kembali menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan 16 terakhir menerusi kemenangan yang amat diperlukan itu.

Seorang daripada pemain terhebat United sepanjang zaman, Charlton meninggal dunia pada Sabtu lalu pada usia 86 tahun.

Penghormatan yang mengharukan diberi kepada pemenang Piala Dunia 1966 itu sebelum sepak mula apabila bos United, Erik ten Hag meletakkan kalungan bunga di bulatan tengah sebelum bertafakur selama seminit.

Ten Hag menyeru pemainnya mencetus inspirasi daripada legasi Charlton selepas permulaan buruk mereka musim ini.

Selepas satu lagi persembahan hambar pada babak pertama, Maguire menebus kesilapan penyerangnya bagi sekurang-kurangnya memastikan hari perpisahan bersama Charlton disambut dengan kemenangan.

Pemain antarabangsa England itu tidak mendapat kepercayaan Ten Hag pada musim pertama kendaliannya, namun menggunakan sepenuhnya masalah kecederaan di benteng pertahanan untuk kembali ke dalam kesebelasan utama.

Maguire berada dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran silang Christian Eriksen dengan tandukan padu pada minit ke-72.

Mereka hampir dihukum apabila Scott McTominay dipersalahkan kerana terjahan keras ke atas Mohammed Elyounoussi pada masa kecederaan.

Larsson, anak bekas penyerang United, Henrik Larsson, tampil untuk mengambil sepakan penalti tetapi percubaan padunya ditampan Onana sekali gus mencetus kegembiraan tidak terhingga dalam kalangan penonton.

Kemenangan itu membolehkan United melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A di depan Copenhagen dan satu mata di belakang Galatasaray.

sumber:- BH

Bayern Munich hampir memastikan layak selepas menang 3-1 ke atas Galatasaray untuk mencatat tiga kemenangan berturut-turut. – AFP