sukan

Jadual gusarkan TFC

Jadual terlalu padat sebelum separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 3 November depan menggusarkan pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner selepas mereka tidak mempunyai ramai pemain dari segi minit permainan untuk diturunkan dalam perlawanan penting.

Katanya, TFC perlu menghadapi perlawanan Piala AFC serta Liga Super sebelum bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) semula dan pemainnya tidak mempunyai masa rehat yang cukup.

Di sebab itu, Steinbruckner akan menggunakan penggiliran pemain untuk memastikan setiap dari mereka ini dapat rehat dan berada di tahap terbaik bagi menghadapi separuh akhir kedua nanti.

“Saya tahu 11 pemain terbaik dan dua tiga pemain yang boleh dimasukkan. Kami ada banyak pemain tetapi bila bercakap mengenai kualiti, ramai di antara pemain yang bagus tetapi kebanyakannya masih kurang minit permainan untuk diturunkan.

“Kami akan bertemu Stallion Laguna FC dan Sri Pahang FC selepas itu. Kami ada meminta Sri Pahang untuk menangguhkan perlawanan itu tetapi mereka tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Saya tidak gembira dengan perkara itu tetapi saya akan meletakkan lebih banyak pemain dari bangku simpanan dalam perlawanan tersebut kerana fokus kami adalah Piala Malaysia dan selepas itu Piala AFC,” katanya.

Ujarnya lagi, meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas KL City semalam di separuh akhir pertama Piala Malaysia, beliau beranggapan mereka sepatutnya membawa pulang jaringan lebih dari itu kerana mempunyai deretan peluang tetapi gagal dimanfaatkan dengan baik oleh pemain.

Steinbruckner juga mengakui pasukannya berhak untuk menang dan pasukan TFC sememangnya memberi fokus lebih besar kepada saingan Piala Malaysia pada musim ini berbanding yang lain.