sukan

Pengalaman ‘bergelut’ sebelum ini jadi petunjuk

Satu lagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2023 akan berlangsung membabitkan KL City FC berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

Berdasarkan rekod, ini adalah pertemuan keempat dua pasukan terbabit pada musim ini dan ia boleh dianggap pertembungan ‘sama liat’ kerana dua-dua pasukan tidak terdaya untuk menundukkan lawan masing-masing.

Dalam dua pertembungan Liga Super, mereka buntu tanpa sebarang jaringan di Kuala Terengganu sebelum pesta enam gol disaksikan di Cheras apabila mereka terikat 3-3.

Begitu juga pada separuh akhir Piala FA, mereka gagal merakam sebarang jaringan sebelum KL City FC melangkah ke final dengan kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Pengalaman ‘bergelut’ sebelum ini pasti menjadi petunjuk buat kedua-dua pasukan bagaimana untuk merobek gawang lawan dalam misi memburu bekalan untuk mengintai tiket ke final Piala Malaysia.

Justeru, tumpuan dijangka terarah kepada ‘penembak tepat’ kedua-dua pasukan yang bakal menggalas tanggungjawab untuk merobek gawang lawan.

Berdasarkan prestasi semasa dan rekod jaringan sepanjang musim ini, skuad ‘Warga Kota’ pasti bergantung harap kepada Romel Morales untuk mengepalai jentera serangan mereka.

Dalam tiga pertandingan musim ini, Morales sudah meledak 13 gol iaitu dua gol dalam Piala FA, lapan gol dalam Liga Super dan setakat ini tiga gol dalam Piala Malaysia.

Skuad ‘Penyu’ pula mengharapkan Ivan Mamut untuk terus mengekalkan konsistensi dan membantu mereka mendapatkan kelebihan awal menjelang aksi separuh akhir kedua nanti.

Prestasi Mamut lebih mantap apabila setakat ini berjaya menyumbang 17 gol termasuk lima gol dalam Piala Malaysia untuk menjadi penjaring kedua terbanyak saingan itu di belakang penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva (8 gol).

Menariknya, Morales dan Mamut mencetak nama selaku penjaring ketika kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi di Cheras, Julai lalu dan gelanggang sama menjadi ‘medan pertempuran’ bagi mereka, malam ini.

sumber:- BH

Jadi, adakah Morales dan Mamut mampu membawa pasukan mereka berada pada kedudukan selesa menjelang aksi kedua di Kuala Terengganu, 3 November ini?