sukan

Tiga pemain yang berkesan untuk Malaysia

Keserasian yang dipamerkan oleh Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid perlu dikekalkan dalam perlawanan seterusnya selepas mereka mempamerkan permainan sangat baik.

Bekas jurulatih berpengalaman negara, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, mereka bertiga sudah menunjukkan satu permainan yang baik serta memahami antara satu sama lain sehingga mampu mencipta gerakan bahaya untuk mendapatkan jaringan.

“Kita tengok ketiga-tiga pemain muda ini ada keserasian, bagi saya satu petanda positif juga kerana mereka ini orang muda lagi.

“Apabila mereka boleh pamerkan permainan dalam peringkat antarabangsa kira alhamdulillah,” katanya kepada Arena Metro.

Percubaan menggunakan mereka bertiga ketika berhadapan India sangat memberi impak di bahagian hadapan apabila Faisal Halim dan Arif Aiman mencetak nama selaku penjaring dan gerakan dari Akhyar pula mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Selain itu, Azrai turut berharap barisan hadapan akan lebih tajam untuk mendapatkan jaringan dan tidak mensia-siakan deretan peluang yang hadir.

Ujarnya, permainan Malaysia ketika aksi final menentang Tajikistan sudah cukup baik dari segi statistik namun tidak berjaya untuk mendapatkan jaringan.

“Pemain perlu lebih tajam di hadapan gol agar peluang yang hadir itu dapat dapat dijaringkan gol.

“Ketiadaan Paulo Josue juga dirasai kerana pemain ini pakar dalam situasi bola mati. Seperti perlawanan malam itu, terdapat beberapa situasi bola mati tapi tidak digunakan dengan baik,” katanya.

sumber:- HM

Terdahulu, Malaysia menamatkan saingan Pestabola Merdeka selaku naib juara selepas tewas kepada Tajikistan 0-2 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.