sukan

Kata-kata Pan Gon buat bulu roma pemain meremang

Kecundang di final Pestabola Merdeka 2023 bukanlah ‘pengakhiran’ kepada segala-galanya kerana kalendar bola sepak terus berjalan sekali gus memberi peluang kepada skuad Harimau Malaya menebus kekecewaan.

Justeru, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menuntut anak buahnya supaya tidak begitu tertekan dengan kekalahan itu, sebaliknya memandang ke depan apatah lagi banyak kejohanan bakal menanti mereka pada masa akan datang.

“(Kekalahan Pestabola Merdeka) bukanlah pengakhirannya kerana ada banyak lagi pertandingan ataupun perlawanan yang akan kita sertai selepas ini.

“Jangan mula merasa goyah dan kita perlu konsisten dan kekalkan mentaliti untuk menang. Ini adalah cara untuk kita bertambah maju dan memandang ke depan.

“Kita tidak akan putus asa dan berundur untuk terus berjuang demi nama Malaysia,” kata Pan Gon.

Dalam masa sama, pengendali dari Korea Selatan itu kekal positif anak buahnya pasti bangkit dengan lebih kuat selepas ‘dihadiahkan’ pengajaran ketika tewas 0-2 di tangan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Pan Gon bagaimanapun mengakui mereka perlu memperbetulkan kesalahan yang ‘didedahkan’ pasukan lawan namun penyokong perlu bersabar kerana ada kelemahan yang tidak boleh diperbaiki hanya dalam satu malam.

“Ada kesalahan yang boleh kita betulkan serta-merta tetapi ada kesalahan yang memerlukan masa untuk diperbaiki. Kita ada kemampuan yang terhad dalam beberapa perkara tetapi kita mencuba yang terbaik selepas mendapat pengalaman seperti ini.

“Keputusan seperti ini memang menyakitkan dan saya harap kita dapat belajar banyak perkara daripada perlawanan ini dalam usaha untuk kita terus menjadi bertambah baik selepas ini.

sumber:- BH

“Semua orang boleh melakukan kesilapan tetapi apa yang lebih penting adalah kita belajar daripada kesilapan yang dilakukan,” katanya.