sukan

Hanya doa Safwan iringi TFC

Hanya doa dan sokongan yang dapat diberikan pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Safwan Mazlan selepas dia terpaksa diketepikan jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

Pemain meningkat naik berusia 21 tahun itu terlepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini selepas menerima dua kad kuning.

Ketiadaan bekas pemain skuad Projek FAM-MSN dan Terengganu FC II (TFC II) itu pastinya sedikit dirasaikan pasukan selepas dia beraksi cemerlang di posisi kegemarannya itu dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Pemain mana yang tidak mahu beraksi dan membantu pasukan lebih-lebih lagi pada perlawanan penting itu, namun apakan daya saya terpaksa menjadi penonton pada Sabtu ini.

“Ini kerana selepas saya menerima dua kad kuning sekali gus digantung satu perlawanan, hanya doa buat pasukan dalam misi melangkah ke pentas final piala berprestij itu.

“Pesanan saya buat rakan sepasukan agar dapat menyajikan persembahan yang terbaik dan berjuang habis-habisan bagi mencari bekalan sebelum aksi timbal balik pada 3 November depan di Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu gandingan pemain kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu bersama Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni di posisi bek tengah mendapat pujian daripada jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner.

Dua tonggak muda itu bersama rakan sepasukannya sebelum ini berjaya menyekat kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selepas berjaya merakam kemenangan 1-0.

sumber:- HM

Pada aksi kedua piala itu menentang kelab Indonesia, Bali United, gandingan dua pemain muda itu sekali lagi cemerlang selepas berjaya mengikat tuan rumah 1-1.