sukan

Dominic boleh terus diberi peluang

Meskipun dituduh sebagai punca kekalahan skuad Harimau Malaya pada final Pestabola Merdeka 2023, prestasi pertahanan tengah, Dominic Tan tidaklah seteruk seperti yang dilabel penyokong tempatan.

Pemerhati bola sepak, Mohd Fauzi Pilus menyifatkan prestasi pertahanan Sabah FC itu agak baik namun hanya sedikit kelekaan dalam mengendalikan situasi selepas pihak lawan menyerang menyebabkan skuad negara dihukum Tajikistan.

Justeru, Fauzi berpendapat pemain itu tidak sewajarnya ‘dihakimi’ apatah lagi dengan cara menutup terus peluangnya beraksi bersama skuad kebangsaan untuk masa akan datang.

“Secara keseluruhannya, ia bukanlah persembahan yang buruk cuma apabila Tajikistan cuba melancarkan serangan, keputusan Dominic agak lambat mungkin kerana tidak kerap mendapat minit.

“Dominic boleh terus diberi peluang kerana dengan adanya Dominic, ini memberi lebih banyak pilihan pemain kepada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan,” kata Fauzi.

Bagaimanapun, Fauzi turut melihat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki Dominic bagi memastikan tahap permainannya dapat ditingkatkan sekali gus dapat memenuhi ‘permintaan’ piawaian antarabangsa.

“Cuma saya tidak menafikan ada beberapa gerakan yang perlu diperbaiki Dominic antaranya ‘tracking duel’, mengendalikan situasi satu lawan satu, kepantasan untuk kembali mendapatkan ruang yang perlu ditingkatkan.

sumber:- BH

“Terutama apabila Corbin membantu serangan dan Dominic perlu cepat untuk melindungi bahagian bawah bagi menutup ruang yang terdedah itu. Selain itu, mengawal pergerakan pemain juga tak boleh setakat separuh jalan,” katanya.