sukan

Punca Utama Arif Aiman dan Matthew Davies dikeluarkan Pan Gon

Pemain bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies menganggap pertembungan menentang Perak FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam esok bakal menjanjikan perlawanan menarik.

Sambil menyifatkan kebangkitan skuad kendalian Yusri Che Lah yang mara ke peringkat separuh akhir sesuatu yang menakjubkan, pemain Harimau Malaya itu yang baru menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan dalam saingan Pestabola Merdeka tetap bersikap berwaspada seandai diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.

Katanya, tempoh rehat 48 jam selepas aksi final menentang Tajikistan agak menganggu fizikal yang tampak keletihan tapi sebagai pemain profesional, dia bersedia memberi persembahan terbaik jika diturunkan menentang skuad The Bos Gaurus.

“Susah juga kerana perlu alih tumpuan daripada aksi bersama skuad kebangsaan dan kembali ke kelab JDT untuk harungi satu lagi perlawanan yang penting tapi itu sudah lumrah dan saya perlu memberi sepenuh fokus untuk aksi bersama JDT.

“Saya keluar selepas aksi babak pertama kerana mengalami sedikit kecederaan termasuk Arif (Aiman Hanapi) yang tidak menyambung beraksi pada babak kedua dan kemungkinan untuk saya beraksi menentang Perak masih 50-50.

“Tapi pada masa yang sama, kita sebagai pemain profesional perlu bersedia dan harus menukar fokus daripada skuad kebangsaan beralih untuk beri tumpuan kepada kelab dan saya tidak berdepan masalah untuk pamer aksi yang konsisten,” katanya.

Davies juga berharap pada pertembungan separuh akhir pertama nanti, JDT perlu memburu kemenangan bagi membawa pulang bekalan yang selesa untuk aksi kedua di Stadium Sultan ibrahim yang dijadual pada 2 November ini.

Untuk rekod sepanjang saingan Liga Super ini, JDT tidak berdepan masalah menewaskan Perak FC apabila menang 5-0 ketika bertandang ke Stadium Perak pada 4 April lalu dan menang dengan jaringan sama ketika beraksi di Stadium Sultan ibrahim, 13 Ogos lalu.

Justeru, Davies tampak berkeyakinan betapa JDT mampu mengharungi aksi separuh akhir pertama namun mengingatkan rakan sepasukan berjaga-jaga dengan penampilan barisan pemain Perak FC yang dianggap mampu membuat kejutan.

sumber:- HM

“Sentiasa yakin dengan kemampuan JDT dan berharap kita dapat keputusan yang positif apabila beraksi di tempat lawan kerana pemburuan utama adalah layak ke final bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini,” kata Davies.